Tempat Menarik di Kundasang

4
travel-tourism

Summary

Musim cuti sekolah akan tiba tidak lama lagi. Pastinya ibubapa sudah mula mencari lokasi percutian untuk bersuka ria bersama keluarga tersayang.

Press Release

Amazon Music Disney Promo

Jika anda merancang untuk ke Kundasang, anda membuat pilihan yang tepat kerana terdapat pelbagai lokasi menarik yang sesuai mengikut peringkat umur yang terdapat di sini. Tidak kurang juga ada pasangan yang merancang untuk berbulan madu di sini, sudah pasti lokasi ini akan menyimpan 1001 memori untuk anda dan pasangan anda dan keluarga anda yang akan menjadi kenangan terindah yang tidak akan dilupakan. Berikut merupakan beberapa lokasi cadangan yang menjadi tarikan pelancong yang berkunjung ke Kundasang.

Tempat Menarik di Kundasang untuk Keluarga

Humble Hobbit Home

Lokasi pertama yang boleh dikujungi bersama keluarga anda ke Kundasang ialah Humble Hobbit Home. Jika anda ke sini, anda akan merasai suasana seperti di dalam filem The Lord of The Rings dan membayangkan anda tinggal di perkampungan orang Hobbit. Di samping itu, anda juga boleh memilih untuk menikmati pemandangan Gunung Kinabalu yang indah dengan menginap di resort ini. Terdapat taman yang terdiri daripada batu-batuan di luar Humble Hobbit Home di mana pengunjung boleh membuat barbeku.

 

Hooga Cafe & Aquaponic Farm

Jika anda peminat tanaman sayur hidroponik, ini merupakan tempat yang sesuai untuk anda dan keluarga. Di sini terdapat kebun sayur yang menampilkan konsep Aquaponik. Aquaponik bermaksud sistem akuakultur (penternakan ikan) dan hidroponik (penanaman tumbuhan tanpa tanah) dalam sebuah sistem yang digabungkan bersama. Selain itu, anda juga boleh melihat ikan talapia di sini dan yang lebih menarik, air daripada tempat peliharaan ikan tersebut disalurkan ke tanaman hidraponik. Ini lebih menjimatkan kos penanaman sayur, dan dalam masa yang sama, menarik minat pengunjung yang berkunjung ke sana.

Setelah penat berjalan-jalan, semestinya kita hendak menjamu selera. Hooga Café menyajikan pelbagai minuman seperti kopi dan hidangan kek yang lazat pada waktu petang dan pada waktu malam pula makanan barat, nasi ayam dan pelbagai lagi menu yang akan memenuhi selera para pengunjung yang datang.

Selepas menjamu selera, anda boleh mengambil gambar di replika bas dua tingkat yang turut menyediakan ais krim. Anda boleh menikmati ais krim sambil melihat suasana malam yang indah berserta lampu yang indah bergemerlapan. Selain itu, di sini juga terdapat laluan bercermin yang dihiasi lampu-lampu yang sudah pastinya indah. Ianya sesuai untuk mereka yang suka ber OOTD dengan latar belakang yang tampak luar biasa.

 

Desa Cattle Dairy Farm

Mahukan suasana pemandangan seperti di New Zealand?  Kini anda boleh ke Desa Cattle Dairy Farm yang kelihatan seperti anda berada di New Zealand. Antara aktiviti menarik bersama keluarga yang anda boleh lakukan di sini adalah dengan memberi makan kepada lembu dan kambing yang ada di sini. Anda juga boleh melihat bagaimana proses susu diperah dan ini semestinya satu pengalaman yang menakjubkan dan menarik minat anak-anak anda. Aiskrim berdasarkan produk tenusu adalah antara produk yang terlaris di sini. Antara perisa yang ada ialah vanila, coklat dan banyak lagi dan harganya juga berpatutan. Semestinya anak-anak anda akan gembira dengan percutian mereka jika anda datang ke sini.

Memorial Perang Kundasang

Tanpa sejarah, siapalah kita pada hari ini. Untuk memastikan anak-anak kita tidak lupakan sejarah, Kundasang War Memorial merupakan tempat yang terbaik. Di samping anda dan keluarga bercuti, anda juga dapat menambah sedikit sebanyak sejarah yang ada di Kundasang mungkin baru kita ketahui setelah berkunjung ke sini.

Terletak 92 kilometer dari Kota Kinabalu,  tugu ini dibina pada tahun 1960 dan siap sepenuhnya oleh arkitek tempatan, J.C. Robinson pada tahun 1963 untuk memperingati jasa dan sumbangan tentera British dan Australia yang meninggal dunia semasa Perang Dunia Kedua. Pintu masuk tugu ini berhadapan dengan Gunung Kinabalu pastinya menjanjikan pemandangan yang indah sekiranya tidak dilitupi kabus.

Tempat Menarik di Kundasang untuk Berbulan Madu

 

Sosodikon Hill

Jika anda dan pasangan anda seorang yang sukakan cabaran dan aktiviti lasak, anda boleh ke Sosodikon Hill dengan ketinggian 1465 meter dari paras laut. Di sepanjang perjalanan untuk sampai ke puncak, terdapat pelbagai jenis bunga-bungaan yang cantik. Waktu yang terbaik untuk mulakan pendakian bermula pada jam 6 pagi dan 1 jam sebelum matahari terbenam iaitu pada jam 5 petang. Pada waktu ini, kualiti cahaya sangat cantik untuk gambar memori bulan madu yang terbaik. Kebiasaannya, masa yang diambil untuk mendaki bukit ini sekitar 15 ke 20 minit sahaja.

 

Taman Kinabalu

Diwartakan pada tahun 1964,  Taman Kinabalu yang juga merupakan Tapak Warisan Dunia seluas 754 kilometer persegi merupakan taman negeri Sabah yang pertama yang merangkumi dua buah gunung iaitu Gunung Kinabalu, Gunung Tambuyokon dan kaki bukit. Taman ini merupakan tapak permulaan bagi mendaki ke Gunung Kinabalu. Semestinya suasana dingin berkabus menjadikan gambar bulan madu anda kelihatan menarik dan mencipta memori yang terindah untuk anda dan pasangan. Taman ini dibuka dari jam 9 pagi hingga 4 petang setiap hari. Pelawat boleh berkunjung ke taman ini dan menikmati keindahan panorama yang menyegarkan mata pada bila-bila masa. Gunung-gunung ini mengambil masa beribu tahun untuk terbentuk dan gunung ini menjadi mercu tanda Taman Negara Sabah dan Malaysia amnya.

Poring Hot Spring

Nama Poring diambil sempena nama spesies buluh gergasi yang tumbuh di kawasan tersebut. Ia terletak 400 meter dari paras laut dan didominasi oleh hutan tanah pamah dengan pokok-pokok dipterokarpa yang besar. Poring Hot Spring terkenal dengan kolam air panas semulajadinya. Sambil anda memanjakan diri anda di dalam kolam air panas, anda juga dapat menikmati suasana romantis ketika berbulan madu kerana di sini juga terdapat taman rama-rama dan Taman Tropika yang semestinya memberikan sesuatu memori yang membahagiakan untuk anda dan pasangan.

Di sini, anda boleh merasai pengalaman meniti di treetop walk setinggi 43 meter. Yang lebih mengujakan, jika anda bernasib baik, anda boleh menyaksikan bunga Raflfesia, bunga yang terbesar di dunia.

Hidden Hill Kundasang

Sesiapa yang mengimpikan suasana seperti di Jepun,  Hidden Hill Kundasang merupakan lokasi terbaik untuk dipilih. Dengan dekorasi luar dan dalaman yang berkonsepkan Jepun, anda dan pasangan boleh merasai pengalaman seperti anda berada di Jepun sambil mengenakan pakaian tradisional negara Jepun iaitu yukata dan kimono. Selain pakaian tradisional, anda juga boleh menikmati makanan tradisional masyarakat Jepun di sini seperti sushi dan soba. Anda boleh memilih untuk menginap di sini kerana terdapat sebuah inap desa (homestay) di sini yang juga berkonsepkan kehidupan desa di Jepun.

Rancanglah percutian anda sebaiknya, memandangkan Kundasang kini menjadi lokasi pelancongan pilihan rakyat tempatan dan pelancong antarabangsa. Anda perlulah memastikan bahawa anda telah menempah penginapan, dan menyediakan bajet secukupnya untuk tiket masuk ke tempat tertentu yang anda ingin lawati di Kundasang untuk mengelak kekecewaan di kemudian hari.